Friday, August 22, 2008

Kehadiran nabi-nabi di muka bumi ini, adalah dirancang secara khusus oleh Allah SWT untuk menyelamatkan seluruh bangsa manusia agar melakukan peribadatan hanya kepada-Nya dengan ajaran yang tepat seperti yang diajarkan oleh nabi-nabi Ia bertujuan agar manusia hanya menyembah Tuhan yang sebenar iaitu Allah SWT.

Allah SWT menegaskan melalui firmannya dalam ayat 122 surah at-Taubah: "Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)."

Ayat di atas menjelaskan bahawa, menuntut ilmu itu satu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Ulama mesti belajar secara mendalam tentang urusan ilmu agama yang bertujuan supaya menyedarkan kaumnya daripada terjebak dalam melakukan perbuatan atau perkara yang bercanggah dengan nilai-nilai agama.

Jika tugas menuntut ilmu dapat dicapai dengan baik, kemudian dapat pula menyampaikannya kepada umat agar sentiasa berjaga-jaga dan waspada, tidak ada sebab mengapa mereka tidak dimuliakan Allah, itulah yang akan melonjakkan kedudukan sebenar ulama yang sebenar yang mahu dihasilkan oleh Islam.

Seorang tokoh ulama kontemporari, Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi ada menjelaskan dalam bukunya 'Rasul dan Ilmu', apabila ulama mampu menjana lima perkara berikut, pasti mereka akan dimuliakan Allah SWT, sekali gus melonjakkan mereka diri sebagai pewaris tugas nabi-nabi:

1. Amanah terhadap ilmu yang dipelajari.
2. Rasa mendalam terhadap tanggungjawab kepada agama, negara, masyarakat.
3. Memilki ciri kemuliaan diri (untuk menyelamatkan agama daripada penyelewengan).
4. Memilki ciri tawaduk yang diperlukan.
5. Beramal sesuai dengan tahap ilmu di dada.

Ulama yang mendapat kehinaan

Perkara ini telah disingkap Allah melalui firman-Nya ayat 176 surah al-'Araf yang bermaksud: "Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir."

Sesungguhnya Allah umpamakan ulama yang cenderung kepada kehidupan dunia yang berlebihan serta tidak menjalankan tugas menyampaikan Islam ibarat seekor anjing yang hina di sisi Allah SWT.

Kerana ayat tersebut diturunkan ke atas seorang ulama Bani Israil bernama Bal'am Bin Ba'urak, yang diamanahkan Nabi Musa untuk menyampaikan Islam kepada Firaun memandangkan keilmuannya yang cukup tinggi dibandingkan dengan orang lain pada waktu itu.

Bal'am bersetuju untuk berbuat demikian, tetapi sesampainya dia di istana Firaun, dia berpaling tadah tidak mahu menyampaikan tugasnya untuk berdakwah, malah mengikut segala telunjuk Firaun yang menjanjikan pulangan lumayan.

Maka kisah tersebut diabadikan dalam al-Quran sebagai bahan renungan kepada generasi hari ini dan akan datang, agar tidak terperangkap dengan bisik rayu syaitan yang dikutuk Allah sampai hari akhirat.